Perutusan

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam Sabah Maju Jaya dan Salam Malaysia Madani.

Alhamdulillah, kita memasuki tahun baharu 2026 dengan keazaman yang teguh, tekad yang kukuh serta iltizam yang berterusan. Tahun 2025 telah menyaksikan pelbagai cabaran dan pencapaian hasil komitmen, kerjasama, dan dedikasi seluruh warga perkhidmatan. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pegawai dan kakitangan atas kesungguhan dan disiplin dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Memasuki tahun 2026, kita terus melangkah ke fasa pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (2026–2030) yang menekankan pembangunan berteraskan kemakmuran ekonomi, kesejahteraan rakyat, dan kelestarian alam sekitar. Perkhidmatan awam berperanan sebagai pemacu utama dalam memastikan keberkesanan dasar, pelaksanaan inisiatif, dan penyampaian perkhidmatan yang berimpak tinggi.

Nilai integriti, akauntabiliti, dan profesionalisme hendaklah terus menjadi teras setiap tindakan. Budaya kerja berpasukan, sikap saling menghormati, serta komitmen berterusan perlu diperkasakan agar perkhidmatan awam diyakini dan relevan dalam memenuhi aspirasi kerajaan serta harapan rakyat.

Akhir kata, marilah kita melangkah ke tahun 2026 dengan keazaman bersama, perancangan yang jelas serta iltizam kolektif yang berterusan. Semoga segala usaha dan sumbangan diberkati dan dipermudahkan demi kecemerlangan organisasi dan kesejahteraan bersama, seterusnya membawa Sabah ke arah pembangunan yang progresif, inklusif dan mampan.

YBHG. DATUK NURLIJAH HAJI DANIN
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran)

wpChatIcon
wpChatIcon